Umar Al-Khatab
Home ] Up ]

 

Khulafa-al-Rasydin

Umar Al-Khatab

Nama sebenarnya ialah Abu Qahafah Umar bin Al-Khattab. Saidina Umar r.a merupakan khalifah Islam yang kedua dalam pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.

Beliau dilantik menjadi khalifah pada hari Selasa, 22 Jamadil Akhir 13H, bersamaan 23 Ogos 634 M. Beliau memerintah selama 10 tahun (13 - 23 H).

Saidina Umar terbunuh di tangan Abu Lu'lu, seorang hamba keturunan Parsi. Beliau merupakan sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat-sifat berani, tegas, taat, bertanggungjawab, adil dan mempunyai pemikiran yang kreatif.

Beliau mendapat gelaran al-Faruq (pemisah antara hak dan batil) kerana sifatnya itu. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan penentang Rasulullah yang ditakuti oleh orang yang memeluk Islam. Keberaniannya menyebabkan Rasulullah berdoa supaya Allah SWT membukakan pintu hati Umar untuk Islam.

Setelah memeluk Islam, beliau telah mengisytiharkan keislamannya secara terang-terangan sehingga menggemparkan masyarakat Quraisy. Beliau berani beribadat secara terang-terangan, iaitu menunaikan sembahyang di Masjidil-Haram yang tidak pernah dilakukan oleh orang Islam sebelum itu.

Beliau juga mencadangkan supaya Rasulullah menyebarkan Islam secara terbuka dan berjanji menghalang sesiapa sahaja yang menentang. Ketika hendak berhijrah, Saidina Umar telah keluar ke tengah Kota Makkah dan mencabar sesiapa saja yang berani menghalang perjalanannya ke Madinah.

Saidina Umar merupakan seorang pemerintah yang amat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya. Beliau sendiri yang meninjau keadaan hidup rakyatnya secara menyamar diri. Beliau pernah terjumpa dengan kanak-kanak yang sedang menangis kerana kelaparan dan terus ke Baitulmal mengambil gandum dan sebagainya, memasak dan menyuapkannya ke mulut kanak-kanak tersebut.

Beliau merupakan seorang yang sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia menerima pendapat dan pandangan orang lain dan sanggup mengakui kelemahan dan kesilapannya sendiri.

Umar pernah menerima pendapat Saidina Abu Bakar mengenai tawanan Perang Badar supaya mereka membayar tebusan atau mengajar kanak-kanak Islam sehingga pandai. Manakala orang yang lemah dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Beliau juga pernah menerima pendapat seorang perempuan supaya setiap orang berhak meletak mas kahwinnya mengikut kehendak mereka sendiri.

Selain itu Saidina Umar merupakan seorang yang kreatif dan banyak membuat pembaharuan untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyatnya.

Sumbangan Saidina Umar
Pentadbiran dan pemerintahan:

 

  1. Menyusun semula pentadbiran negara.
  2. Membahagikan negara Islam kepada beberapa buah wilayah.
  3. Melantik gabenor bagi setiap wilayah.

 
Ekonomi

 

  1. Memperkenalkan peraturan cukai tanah dan perniagaan.
  2. Membina sistem pengairan untuk pertanian.
  3. Membuka tanah baru untuk kawasan pertanian.

 
Sosial

 

  1. Mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik.
  2. Mengadakan perkhidmatan pos.
  3. Membuat pembaharuan dalam bidang kehakiman.
  4. Mendirikan masjid-masjid.
  5. Mendirikan rumah persinggahan.
  6. Mengistiharkan Hijrah sebagai Takwim Islam
  7. Mengemaskinikan majlis Syura'.
  8. Mewujudkan bandar-bandar baru dalam wilayah Islam.

 

Uthman Bin Affan

Nama sebenar beliau ialah Uthman bin Al'-As dan dilahirkan enam tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW digelar 'Zu al-Nurain' kerana mengahwini dua orang puteri Rasullah, Rokiah kemudian Ummi Kalthum.

Saidina Uthman merupakan khalifah ketiga, menggantikan Khalifah Umar dan dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah oleh jawatankuasa perunding yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar.

Beliau merupakan seorang dermawan, hartawan dan bangsawan Quraisy dari keturunan Bani Umaiyah dan sangat taat kepada Allah dan Rasul, zuhud, suka berjihad, berpandangan jauh dan mempunyai pemikiran yang tajam.

Uthman meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah, kerana dibunuh oleh para pemberontak yang mengepung rumahnya.

Ketaatannya kepada Allah dan Rasul

Uthman termasuk dalam kumpulan pertama yang berhijrah ke Habsyah, untuk memelihara iman dan Islam. Hijrah itu membayangkan beliau ialah orang yang pertama yang berhijrah kerana Allah SWT selepas Nabi Lut a.s.

Beliau sanggup meninggalkan tanah air dan kekayaan harta benda kerana ketaatannya yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Kecekalan Saidina Uthman

Saidina Uthman menjadi utusan Rasulullah SAW untuk berunding dengan ketua Quraisy supaya orang Islam dapat memasuki Makkah untuk menunaikan umrah. Rombongannya telah ditahan di Hudaibiah, kemudian tersebar berita Saidina Uthman telah dibunuh. Berita itu menimbulkan kemarahan orang Islam dan bersedia untuk bertindak balas.

Pihak Quraisy takut lalu menghantar wakilnya untuk berunding dan mmulangkan Saidina Uthman. Melalui perundingan ini, terbentuklah Perjanjian Hudaibiah yang membawa kejayaan besar kepada perkembangan Islam seterusnya.

Kesanggupan Saidina Uthman untuk memikul tugas yang boleh mengancam nyawanya itu adalah disebabkan oleh kecekalan dan ketabahan hatinya.

Selain itu Saidina Uthman ialah seorang yang bersifat pemurah, warak dan zuhud. Orang yang zuhud ialah orang yang kuat beribadat kepada Allah SWT dan SWT dan membelanjakan harta yang dimilikinya pada jalan Allah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat yang berkekalan.

Dalam Peperangan Tabuk (9 Hijrah), beliau telah mendermakan sebanyak 150 ekor unta yang sarat dengan muatan, 150 ekor kuda perang dan 10 000 dinar. Beliau juga telah membeli sebuah perigi yang berharga 20 000 dirham daripada seorang Yahudi dan diwakafkan.

Rasulullah SAW telah menyifatkan Saidina Uthman sebagai sahabatnya di syurga. Sabda baginda:

Talhah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap nabi mempunyai sahabat karib dalam syurga. Sahabat karibku di syurga ialah Uthman bin Affan".

Bertanggungjawab dan tegas

Saidina Uthman merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab, tegas, teliti dan kreatif dalam tugasnya. Beliau dengan tegas memberi amaran kepada para pegawainya supaya tidak menyalahgunakan kuasa dan menjalankan tugas dengan adil dan amanah.

Beliau adalah seorang yang teliti, kreatif dan berpandangan jauh dalam perkembangan Islam dan pemerintahan negara. Contohnya, beliau telah menubuhkan angkatan laut yang pertama dan memperbesarkan angkatan tentera darat bagi menghadapi tentangan kerajaan Rom dan Parsi.

Uthman seorang yang tegas dan tidak mudah mengalah dengan fitnah dan ancaman yang dilemparkan kepadanya. Segala konflik yang berlaku di akhir-akhir pemerintahannya dihadapi dengan tenang, tabah dan penuh tanggungjawab.

Beliau tetap mempertahankan jawatan khalifah yang merupakan amanah Allah, walaupun telah didesak supaya beliau meletakkan jawatan. Akhirnya, beliau telah dibunuh oleh pemberontak yang mengepung rumahnya ketika beliau sedang membaca Al-Quran.

Sumbangannya

Uthman telah memberi sumbangan yang besar kepada Islam melalui usahanya untuk mengumpulkan Al-Quran. Hasilnya, lahirlah 'Mashaf Uhmani' yang menjadi contoh salinan Al-Quran yang digunakan hingga ke hari ini.

Usaha beliau ini dapat menjamin keutuhan ayat-ayat suci Al-Quran kerana ramai daripada para sahabat yang merupakan penhafaz Al-Quran telah mati syahid.

 

Send mail to hashimi991@yahoo.com with questions or comments about this web site.
Last modified: May 02, 2001     ©LAMan Pandu Utama (LAMPU)