ILMU TAUHID ISLAM
Home ] Up ]

 

ILMU TAUHID
ISLAM, IMAN dan IHSAN

ILMU TAUHID

Pengertian:

Ilmu yang membicarakan tentang penetapan pegangan kepercayaan [Aqidah dan Iman] dalam agama berdasarkan dalil-dalil yang diyakini betul. Ilmu Tauhid juga disebut Ilmu Usuluddin dan Ilmu Kalam.
 

Keutamaannya:

Ilmu Tauhid adalah ilmu yang terpenting sekali di antara segala ilmu kerana ia membicarakan berkenaan Allah dan RasulNya.
 

Faedahnya:
menjadikan iman seseorang itu di dalam hukum-hukum syarak adalah tetap dan   teguh.
menyebabkan ia mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.


ISLAM, IMAN dan IHSAN

Agama Islam:
Diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. untuk memimpin manusia ke jalan yang benar dan diredhai Allah swt..
Agama Islam adalah wahyu daripada Aallah swt.. Hanya Islam sahaja agama yang diakui Allah swt.
Dalam surah Ali Imran ayat 19 Allah berfirman yang lebih kurang maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah swt. hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka kerana kedengkian (yang ada) antara mereka......"
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. melalui Malaikat Jibril as sebagai pedoman kepada manusia dalam melakukan sesuatu. Ia juga merupakan petunjuk kepada orang yang berfikir dan memberi peringatan kepada orang-orang yang lupa.


Kandungan al-Quran terdiri daripada:
pelbagai ilmu
kisah-kisah sejarah
hukum-hakam
perkara berkaitan keimanan (tauhid)
hari akhirat, ibadah dan lain-lain
Firman Allah swt. dalam surah al-Furqan ayat 1 kira-kira bermaksud: "Maha Suci Allah swt. yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambaNya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada alam (jin dan manusia).
 

Tujuan Agama Islam diturunkan:
untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat.
untuk membimbing manusia ke jalan yang benar.
supaya manusia menyembah Allah swt. dan tidak mensyirikkanNya.
supaya alam dan manusia dapat merasai rahmat Allah swt.


Pengertian Islam:
Bahasa: Tunduk, patuh dan menyerah diri.
Istilah: Menyerah diri kepada Allah swt., tunduk dan patuh kepada perintahNya serta membenarkan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. iaitu melaksanakan apa yang disuruh/diperintah dan meninggalkan/menjauhkan apa yang dilarang bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Firman Allah swt. dalam surah az-Zumar, ayat 54 kira-kira bermaksud:
"Dan kembalilah (patuh) kepada Tuhan kamu dan serahlah diri kepadaNya".
 

Rukun Islam:

  1. mengucap dua kalimah syahadah (niat, lafaz dan perbuatan).
  2. solat lima waktu sehari semalam.
  3. mengeluarkan zakat bila cukup syarat.
  4. berpuasa sebulan di bulan Ramadhan.
  5. Menunaikan haji di Baitullah bagi yang berkuasa/mampu.


Sabda Rasulallah saw. lebih kurang bermaksud:
"Islam dibina atas lima perkara iaitu, hendaklah kamu mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji jika kamu berkuasa". HR Muslim.
 

Iman:

  1. Iman sangat penting kepada individu muslim
  2. Iman yang teguh kepada Allah swt. akan mendorong seseorang melakukan suruhan Allah dengan ikhlas berjihad pada jalan Allah, melakukan perkara-perkara kebaikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
  3. Orang yang lemah iman akan mudah terpengaruh kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka memandang ringan terhadap ajaran Islam dan tidak mengamalkan syariat yang ditetapkan dengan sepenuh hati.


Pengertian Iman:
Bahasa: Kepercayaan kepada sesuatu.
Istilah: Percaya dan membenarkan di dalam hati, mengaku dangan lidah dan mengamalkannya dengan anggota.


Rukun-rukun Iman:

  1. Percaya kepada Allah.
  2. Percaya kepada Malaikat.
  3. Percaya kepada Nabi dan Rasul.
  4. Percaya kepada Kitab-kitab.
  5. Percaya kepada Hari Akhirat.
  6. Percaya kepada Qada dan Qadar samada baik atau buruk.
Sabda Rasulallah saw. lebih kurang bermaksud:
"Iman ialah kamu percaya kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, Hari Akhirat dan kamu percaya kepada QadarNya samada baik atau buruk". HR Muslim.
 

Kelebihan orang beriman:
mendapat berkat daripada Allah swt.
memperolehi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
merasai ketenangan jiwa dan perasaan.
diberikan petunjuk oleh Allah swt.


Kesan Iman terhadap masyarakat:
masyarakat berada dalam keadaan aman damai.
terhindar daripada gejala-gejala sosial yang merosakkan masyarakat.
ajaran Islam dapat dijalankan dengan sempurna.
syiar Islam akan meningkat.


Balasan terhadap orang yang tidak beriman kepada Allah swt.:

  1. Seseorang akan sentiasa dirundung perasaan resah dan gelisah.
  2. Tidak mendapat petunjuk daripada Allah swt.
  3. Tidak memperolehi kejayaan hidup.
  4. Masyarakat berada dalam keadaan tidak stabil.
  5. Tidak mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Pengertian Ihsan:
melakukan sesuatu kebaikan dengan ikhlas hanya kerana Allah swt. bagi mendapat keredhaanNya tanpa mengharapkan sebarang balasan/ganjaran.
Keikhlasan menjadi asas terpenting di dalam melakukan ibadah untuk mendapat kekhusyukan dan kesempurnaan amalan yang dilakukan.

Sabda Rasulallah saw. yang lebih kurang bermaksud:
"Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak dapat melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu". HR Muslim
 

Sifat-sifat Ihsan:
membuat sesuatu pekerjaan dengan hati yang tulus/ikhlas.
jujur dan amanah terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan.
merasai diri sentiasa dalam pengawasan Allah swt.
berakhlak mulia.
hormat menghormati antara satu sama lain.
menolong orang dalam kesusahan.
tidak menyakiti hati orang lain.
suka melakukan kebaikan.
beradab sopan sesama manusia.


Kebaikan memiliki sifat ihsan antaranya:
disayangi Allah swt.
merasai ketenangan perasaan.
dijauhi dari sifat yang tidak baik.
masyarakat Islam akan dipandang mulia oleh masyarakat bukan Islam.
lahirnya masyarakat Islam yang kuat dan maju.
mewujudkan masyarakat Islam yang bermaruah diri.
keindahan Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam.


Hubungan dan perbezaan antara Iman dan Islam:

  1. Iman dan Islam adalah dua perkara yang boleh menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
  2. Orang yang mempercayai Rasulallah saw. tentu menurut segala perintah yang dibawanya. Jika tidak percaya maka tidak akan timbul rasa taat dan patuh untuk melakukan perintah itu.
  3. Iman adalah kerja-kerja hati, manakala Islam pula adalah kerja-kerja anggota.
  4. Iman termasuk dalam aqidah (kepercayaan), manakala Islam dalam amalan dan perbuatan.


Antara nikmat Islam dan Iman ialah:
merupakan sebesar-besar nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt. kepada manusia.
membolehkan seseorang itu berjaya di dunia dan di akhirat.
Islam dan Iman secara langsung menyelamatkan manusia daripada kekufuran atau kesyirikan.
Islam dan Iman menjadi pemisah antara hak dan batil bagi diri seseorang.
Islam dan Iman menyebabkan seseorang itu berjaya memasuki syurga dengan keredhaan Allah serta menyelamatkan diri daripada azab neraka.


Bagaimana Islam, Iman dan Ihsan dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt.:

  1. sentiasa memelihara seseorang supaya redha dan sabar terhadap ujian Allah swt.
  2. menjadikan seseorang sentiasa beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah.
  3. melatih seseorang giat dan ikhlas dalam setiap amal ibadat.
  4. menjadikan seseorang sentiasa beristiqamah (tetap) dalam setiap amalan.
 

Send mail to hashimi991@yahoo.com with questions or comments about this web site.
Last modified: March 18, 2001     ©LAMan Pandu Utama (LAMPU)